Tuesday, April 7, 2009

Sejarah Sekolah SMK METHODIST (ACS) KAMPAR

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN
METHODIST (ACS) KAMPAR, PERAK
JILID KE – 58 ( 2003 )
Web Site : http/smkmacskampar.blogspot.com


SEJARAH PENGASASAN DAN PERKEMBANGAN SEKOLAH MENENGAH METHODIST ( A.C.S. ) KAMPAR, PERAK
DARI TAHUN 1903 - 2002
oleh
En. Chang Hon Woon



ISI KANDUNGAN :

(A) Pengenalan

(B) Asal Usul Penubuhan Anglo-Chinese School, Kampar Dan Sebab-sebab
Penubuhannya (1903 –1915)

(C) Matlamat-Matlamat Penubuhan Sekolah Methodist

(D) Perkembangan Anglo-Chinese School, Kampar Sebelum Merdeka Dan Masalah-
MasalahYang Dihadapinya (1915-1957)

(E) Perkembangan Anglo-Chinese School, Kampar Selepas Kemerdekaan (1958-2002)

(F) Rumusan



Nota :

Sejarah Kajian Tempatan ini ditulis oleh En. Chang Hon Woon ( seorang Guru Sejarah di sekolah tersebut ) sejak tahun 1998 dan telah dikemaskinikan pada tahun 2003 sempena sambutan ACS Kampar 100 tahun.



(A) PENGENALAN

Tujuan utama kajian tempatan mengenai sekolah ini dibuat ialah untuk mengesan sejarah pengasasan serta perkembangan Sekolah Anglo Chinese School di daerah Kampar, Perak dan seterusnya mendokumentasikannya sebagai satu usaha untuk memperkayakan bahan sejarah tempatan. Mudah-mudahan bahan kajian ini akan menjadi sumber rujukan khususnya kepada pelajar-pelajar di sekolah ini.

Sekolah Anglo-Chinese School, Kampar merupakan sekolah yang pertama sekali ditubuhkan oleh mubaligh Kristian dengan bantuan Kerajaan British di daerah Kampar, Perak pada masa itu. Sekolah tersebut dibina pada tahun 1903 dan telah banyak memberikan sumbangan dari segi perkembangan sosio-ekonomi masyarakat di Kampar. Di sepanjang hampir seabad penubuhannya, sekolah ini telah berjaya melahirkan ramai golongan profesyenal, ahli-ahli usahawan, sukan serta tokoh-tokoh masyarakat yang berkaliber. Kejayaan-kejayaan yang diperolehi oleh mereka ini seterusnya menyumbang ke arah mengharumkan lagi nama institusi pendidikan ini sehingga pada masa kini ia masih lagi dikenali sebagai sekolah prima (primier school) di daerah Kampar. Oleh sebab itu tidak hairanlah sekolah ini masih menjadi pilihan bagi ramai ibu bapa di daerah Kampar, Malim Nawar, Mambang Diawan serta Temoh, Perak untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sini. Ini ialah kerana mereka menaruh keyakinan penuh terhadap kemampuan serta prestasi cemerlang sekolah ini.

Berikut ialah petikan daripada majalah The Kacsian, Golden Jubilee Number, Volume XI, 1953, yang menerangkan secara terperinci mengenai asal usul penubuhan sekolah ini, “ The Anglo-Chinese School, Kampar, was founded in April, 1903 in the sixteenth year of the reign of Sultan Sir Idris Murshid Al-Azzam Shah, G.C.M.G. , G.C.V.O. It was not a very eventful year in Malayan history, but the little mining town of Kampar was rapidly growing in population and wealth, and an English School was an urgent necessity. The school began as a small one-class school, under the auspices of the Chinese Methodist Church, in the Chinese Church which stood on a little mound in a two-acre plot about half way from the town to the Railway Station on the left side of the road (prior to the deviation). Mr. Ling Ching Mi was the first teacher and the roll during 1903 was 45. ”

- 1 -

(B) Asal Usul Penubuhan Anglo-Chinese School, Kampar Dan Sebab-sebab
Penubuhannya (1903 –1915)

Pekan Kampar yang pada masa dahulunya terkenal sebagai pekan perlombongan yang pesat. Ia hanya terdiri daripada beberapa lorong kedai dan rumah papan. Kebanyakan daripada penduduknya terdiri daripada orang Kantonis dan Hakka yang mempunyai kaitan yang rapat dengan industri perlombongan. Anglo-Chinese School telah mula diasaskan hampir seabad yang lalu iaitu pada bulan April 1903 oleh seorang mubaligh Kristian berbangsa Inggeris dari mazhab Gereja Methodist. Nama beliau ialah Reverend William E. Horley. Beliau merupakan seorang Padri Kristian dari mazhab Gereja Methodist di Asia Tenggara. Dengan pembukaan sekolah ini maka bermulalah sistem pendidikan yang menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya bagi kanak-kanak di sekitar kawasan Kampar, Perak pada ketika itu. Pada masa itu masyarakat Cina merupakan penduduk majoriti di pekan itu dan oleh itu hanya pendidikan China sahaja yang terdapat di situ. Visi beliau yang bijak itulah akhirnya menjadikan sekolah ini antara sekolah yang terkemuka di Daerah Kinta Selatan. (1)

Rev. William E. Horley dilahirkan pada 5hb. Jun 1870. Beliau tiba ke Singapura pada tahun 2hb. April 1931. Beliau telah banyak berjasa dalam mengasaskan rangkaian Sekolah-Sekolah Methodist di seluruh Tanah Melayu. Beliau lebih dikenali sebagai pengasas Anglo-Chinese School, Ipoh. Ini ialah kerana beliau bertanggung jawab mengasaskan Anglo-Chinese School yang pertama di Perak pada bulan Ogos 1895, sepuluh tahun selepas Sekolah Methodist yang pertama di Tanah Melayu ditubuhkan di Singapura. Sekolah A.C.S. itu pada asalnya merupakan sebuah rumah Melayu beratap dengan bilangan pelajar seramai 4 orang sahaja. Di atas kegigihan usaha beliaulah Sekolah-Sekolah Methodist tumbuh di merata tempat di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. (2)

Hubungan beliau dengan sekolah-sekolah tidak berakhir selepas penubuhannya sahaja malah beliau terus menjalinkan hubungan yang rapat dengan pelajar-pelajar lelaki dan perempuan di Sekolah-Sekolah Methodist ini. Personaliti beliau yang alim, ikhlas dan peramah ini sangatlah disanjungi oleh masyarakat A.C.S. semasa meletakkan batu asas untuk sebuah sekolah pada tahun 1904, beliau pernah berkata, “I am a lover of boys and I would like to see every lad get an equal chance to be fully equipped to fight life’s battles…. I trust that this school will be ‘ the seed plot of many virtues ’ and that the lads…. may grow up to be a credit to the community – to this country. We want to teach the growing generation how to live noble, useful and good lives.” (3)

Di sepanjang 37 tahun kariernya sebagai mubaligh, kebanyakan daripada masanya dihabiskan untuk berkhidmat di Ipoh dan Kuala Lumpur, kecuali di antara 1929-1931 apabila beliau dilantik sebagai District Superintendant di Singapura. Perletakan batu asas untuk sekolah Anglo-Chinese School, Kampar ini bermula pada April 1903 apabila Rev. W.E. Horley memulakan sebuah kelas Bahasa Inggeris di Chinese Methodist Church. Ini bermakna bahawa bangunan sekolah yang pertama itu merupakan sebuah rumah gereja. Pada masa itu seramai 45 orang pelajar telah berdaftar untuk kelas itu dan guru yang pertama di sekolah tersebut ialah En. Ling Ching Mi. (4) Kerajaan Inggeris pada masa itu telah memberikan geran khas untuk membayar gaji beliau. Kesemua pelajar pada masa itu terdiri daripada lelaki. Kaum perempuan tidak dibenarkan belajar pada

- 2 -

ketika itu. Dua orang guru bernama En. Lo Wei Kwang dan En.Chong Wan Fook yang pernah mengajar di sekolah itu dan bersara pada tahun 1950 merupakan bekas pelajar-pelajar perintis sekolah
satu kelas yang telah disebutkan tadi.
Permulaannya sebagai institusi pendidikan satu kelas di bangunan Chinese Methodist Church adalah di atas tanggungan pihak gereja. Walau bagaimanapun Rev. Horley telah berjaya memperolehi Geran Kerajaan untuk membayar gaji guru di situ. Pada tahun 1904, seorang lagi guru diambil untuk mengajar di sekolah itu dan beliau ialah En. Phong Ah Sang. Atas usaha gigih beliau, bilangan pelajar bertambah menjadi seramai 70 orang. (5) En. Phong Ah Sang berkhidmat di sekolah itu dari tahun 1904-1909. Dalam tahun 1906, Rev. W.E. Horley melaporkan kepada Methodist Annual Conference bahawa sekolah itu sedang berkembang dengan cepat. Beliau berkata, “.... I am sure that we would easily collect enough money to put up a fine building. Kampar is a rising town and growing rapidly.” (6) Pada tahun 1910, En. Kwan Tien Poh yang berasal dari Melaka mengambil alih sekolah itu daripada En. Phong Ah Sang dan berkhidmat di sekolah itu selama setahun lamanya. Dalam tahun 1912, En. Chu Chong Khe berkhidmat sebagai Guru Besar selama setahun dan seterusnya digantikan oleh En. Lim Eng Chuan yang juga berkhidmat selama setahun. Pada tahun 1915, Rev. Paul Ponniah telah dilantik sebagai Guru Besar di sekolah itu dan bilangan pelajar yang mendaftar menjangkaui 112 orang. (KACSIAN 1978)
Oleh kerana sekolah itu mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan masyarakat tempatan Kampar maka masalah petempatan pelajar-pelajar kian ketara. Oleh itu Rev. Horley terpaksa membuat rancangan untuk membina sebuah bangunan yang cukup besar untuk menampung keperluan bilangan pelajar yang besar. Untuk mencapai matlamat ini, pihak gereja terpaksa berusaha untuk mencari derma di kalangan masyarakat tempatan. Perkara mendapatkan derma di kalangan masyarakat tempatan tidak menjadi masalah yang besar kerana bermula dari waktu itu keadaan fizikal sekolah ini berkembang secara berunsur-unsur.

( C ) Matlamat-Matlamat Penubuhan Sekolah Methodist

Gereja Methodist menpunyai hubungan yang rapat dengan American Methodist Church yang semenjak tahun 1784 telah mengarahkan mubaligh-mubaligh Methodist supaya mengembangkan pendidikan kepada golongan muda di mana-mana sahaja. Akibatnya American Methodism berjaya mengembangkan institusi-institusi pendidikan dan menguruskan lebih banyak sekolah berbanding dengan Badan Protestant yang lain. (7) Justeru itu memang tidak dapat dinafikan bahawa Gereja Methodist mempunyai matlamat-matlamat yang tertentu dalam usaha mereka untuk mengembangkan pendidikan Inggeris d Tanah Melayu. Pada keseluruhannya terdapat 4 sebab utama penubuhan Sekolah-Sekolah Methodist di Tanah Melayu dan ada kaitan dengan sekolah Anglo-Chinese School ini.

Matlamat-matlamat tersebut ialah seperti berikut :
1) Penyucian Diri Dari Segi Jasmani ( The Sanctity Of The Body ). Pelajar-pelajar digalakkan supaya menceburkan diri dalam kegiatan-kegiatan senaman seperti gimnastik dan olahraga. Kegiatan-kegiatan senaman ini penting untuk membentuk tubuh yang sihat.

- 3 -

2) Pembentukan Pemikiran Yang Cekap ( The Creation Of Mental Efficiency ). Ia bertujuan memupuk dan memperkembangkan daya kreativiti pelajar-pelajar ke tahap yang maksima dan justeru itu menyediakan sumber tenaga manusia yang boleh menyumbang ke arah pembangunan Tanah Melayu.

3) Pembentukan Nilai Moral yang Sempurna ( The Establishment Of An Unimpreachable Standard Of Morals ). Sekolah-sekolah Methodist ingin memainkan peranan dalam usaha untuk meningkatkan nilai moral di kalangan masyarakat Tanah Melayu. Ini ialah kerana nilai moral yang lemah boleh merosakkan tubuh badan dan pemikiran seseorang. Pihak gereja berpendapat bahawa nilai moral di kalangan generasi muda masyarakat Tanah Melayu telah kian merosot. Justeru itu Badan Methodist ingin memberikan sumbangan mereka dalam perkara ini.

4) Mengembangkan Ilmu Ketuhanan Kepada Pelajar (The Coronation Of The Spiritual Motive ). Pihak Sekolah-Sekolah Methodist memberikan penekanan yang tinggi terhadap nilai-nilai rohaniah. Oleh itu Sekolah-Sekolah Methodist berhasrat untuk memperkenalkan pelajar-pelajar kepada Tuhan atau Agama Kristian. (8)

(D) Perkembangan Anglo-Chinese School, Kampar Sebelum Merdeka Dan Masalah-
MasalahYang Dihadapinya ( 1915-1957 )

Tapak awal bangunan sekolah ini sebenarnya adalah tapak Sekolah Rendah Kebangsaan Methodist (A.C.S) Kampar sekarang. Kedua-dua buah sekolah ini terletak bersetentangan di antara satu sama lain. Sekolah yang bermula dengan satu kelas dan mempunyai seorang tenaga pengajar sahaja ( juga bertindak sebagai Guru Besar ) pada tahun 1903 ini telah terus berkembang dari tahun ke tahun. Disebabkan bilangan pelajar yang berdaftar di sekolah ini kian bertambah maka tidak dapat tidak keadaan fizikalnya juga terpaksa diperkembangkan. Boleh dikatakan bahawa kebanyakan pelajar yang berdaftar untuk belajar di sini adalah terdiri daripada golongan kelas menengah yang berbangsa Cina. Ini ialah kerana pekan Kampar itu sendiri merupakan sebuah kawasan perlombongan di mana kebanyakan penduduknya terdiri daripada kaum Cina.

Seperti sekolah-sekolah mubaligh yang lain, sekolah Anglo-Chinese School, Kampar ini juga tidak terkecuali daripada dibebani oleh berbagai masalah semenjak penubuhannya. Dalam beberapa dekad seterusnya pihak pengurusan sekolah ini terpaksa mencari penyelesaian untuk masalah-masalah seperti kekurangan guru yang berkelayakan, kekurangan sumber kewangan untuk membayar gaji guru serta bagaimana hendak mencari sumber kewangan untuk menyediakan bilik darjah serta kemudahan-kemudahan asas yang lain untuk menampung keperluan bilangan pelajar yang semakin bertambah ramai. (9)

Rancangan untuk membina sebuah bangunan sekolah bermula sejak tahun 1915 apabila Rev. Paul Ponniah dilantik sebagai Guru Besar. Bilangan pelajar telahpun meningkat seramai 112 orang pada waktu itu. Beliau menyedari bahawa bangunan Chinese Methodist Church tidak mampu menampung

- 4 -

bilangan pelajar yang begitu ramai. Oleh demikian, sebuah bangunan yang baru perlu dibina supaya mampu menampung keperluan institusi itu yang kian berkembang. Oleh itu dengan bantuan Rev. Horley, pihak sekolah itu berusaha untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada orang ramai. Untuk sementara waktu, sebuah bilik darjah sementara yang diperbuat daripada kayu telah dibina di sebelah Gereja Cina itu.

Rayuan untuk derma mereka itu mendapat sambutan daripada anggota masyarakat Kampar. Rev. Ponniah serta Jawatankuasa Bangunan yang diketuai oleh Rev. Horley telah melancarkan kempen pengutipan derma untuk membina bangunan sekolah baru yang berharga $27,000. (10) Dalam pada itu pihak Kerajaan telah meluluskan geran sebanyak $10,000 untuk tujuan itu. Kos asal untuk membina bangunan tersebut ialah $20,000 tetapi disebabkan Perang Dunia 1, harga barangan kian meningkat kepada $24,700. Seterusnya ditambahkan pula dengan kos pemasangan peralatan elektrik dan sistem paip serta perabot yang berjumlah $2,300 telah menjadikan jumlah kosnya sebanyak $27,000.

Seterusnya En. Eu Tong Sen telah mendermakan sekeping tanah ( sebahagian daripada harta Coronation Hill ) untuk didirikan bangunan tersebut disamping wang tunai sebanyak $3,000. Berbagai rancangan telahpun dirangka dan usaha pengutipan derma telahpun dilancarkan tetapi telah tergendala akibat Perang Dunia 1. (11) Pada tahun 1917, En. Paul Ponniah berhijrah ke India dan En. V. John memangku jawatan Guru Besar selama setahun sehingga jawatan tersebut diambil alih oleh Rev. C.J. Hall. Di bawah pentadbiran beliaulah bangunan sekolah yang sudah lama tergendala pembinaannya telah berjalan semula dan akhirnya berjaya disiapkan pada tahun 1919. Bangunan sekolah ini mampu menampung bilangan pelajar seramai 320 orang. Setelah siap, sekolah itu pun berpindah ke tapak bangunan yang baru itu.

Kesemua ini dapat dijayakan hasil daripada usaha Rev. Horley yang telah banyak membantu En. Chan Yin Tit, Y.P. yang pada masa itu merupakan Ketua Kerani Jabatan Perlombongan di Daerah Kampar. En. Chan Yin Tit merupakan seorang pemimpin masyarakat yang dihormati di Kampar dan menjadi seorang ahli yang aktif dalam Jawatankuasa Bangunan Sekolah. Di atas kerjasama dan usaha beliau ini, wang kutipan yang banyak berjaya diperolehi daripada orang ramai di Kampar. Bersama-sama dengan Rev. Horley, mereka berjaya mengutip derma sebanyak $23,012. Pembinaan bangunan sekolah sekolah yang baru itu adalah tepat pada masanya kerana Gereja Cina itu terpaksa dipindahkan kerana Towkay Leong Kong Chen (pemilik tanah) mahu mengambil balik tapak tanah untuk tujuan perlombongan. Geraja Cina itu akhirnya dipindahkan ke tapak yang lain iaitu di tapak Sekolah Rendah Kebangsaan Methodist (A.C.S) Kampar sekarang yang terletak di sepanjang Jalan Kuala Dipang. Untuk sementara waktu sebuah rumah milik seorang jurutera Inggeris telah dibeli untuk digunakan sebagai sekolah selama beberapa bulan sebelum bangunan sekolah itu siap. (12)

Bangunan sekolah tersebut telah dibuka secara rasminya pada tahun 1919 oleh En. R.G. Watson, iaitu Residen British di Perak. (13) Peristiwa yang penuh gemilang itu dimeriahkan lagi oleh perkhidmatan keretapi istimewa dari Ipoh ke Kampar, lawatan orang ramai ke Coronation Hill, tempat kediaman

- 5 -
En. Eu Tong Sen, perarakan murid-murid sekolah menerusi pekan Kampar yang dipimpin oleh Pasukan Pancaragam Perak serta Acara Sukan Olahraga yang pertama di sekolah itu. Kawasan kediaman Golden Dragon yang sebelumnya dikenali sebagai Coronation Hill sebenarnya merupakan kediaman asal mendiang Eu Tong Sen yang telah menjadi seorang hartawan hasil daripada perniagaan bijih timah dan getah.

Pada tahun yang sama, seramai 178 pelajar telah berpindah ke bangunan sekolah baru itu. Dalam tahum 1920, En. T.K. Cheong mula berkhidmat sebagai Guru Besar di sekolah tersebut. Selama 12 tahun berkhidmat di situ, beliau telah berjaya membuktikan diri sebagai seorang pentadbir yang cekap. Prestasi akademik mulai meningkat dan peluang-peluang diberikan kepada pelajar-pelajar untuk melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan ko-kurikulum seperti bola sepak, bola keranjang dan Pengakap. Dalam tahun 1924, Pasukan Pengakap Kampar yang pertama ditubuhkan oleh Ketua Pengakap, En. Lee Chak Pong. Kecekapan Pasukan Pengakap tersebut membolehkannya dipilih untuk mewakili Perak di Jambori Negeri Selangor. Pasukan First Kampar Scout merupakan pasukan pangakap yang terkemuka dari segi kecekapan serba boleh di kalangan pasukan-pasukan pengakap di Perak

Di sepanjang tahun 1920 an, sekolah ini telah mencapai kemajuan membanggakan di dalam pelbagai lapangan. Di samping itu bilangan pelajar yang berdaftar di sekolah ini meningkat dari tahun ke tahun. Tahap pancapaian palajar-pelajar di dalam bidang akademik dan ko-kurikulum juga turut meningkat. Sehingga tahun 1928, bilangan pendaftaran pelajar meningkat kepada 352. Rev. W.E. Horley sungguh gembira tentang perkembangan yang dicapai di sekolah ini sehingga beliau merancang untuk membina sebuah lagi bangunan tambahan supaya lebih banyak lagi bilik darjah dapat diadakan. (14) Namun begitu projek tersebut hanya berjaya disempurnakan pada tahun 1936.

Pada tahun 1933, En. T.K. Cheong telah bertukar ke Parit Buntar dan tempatnya digantikan oleh En. Yong Ngim Djin. Pada masa itu jumlah pelajar yang berdaftar di sekolah itu sudah mencapai 354 orang. En. Yong Ngim Djin juga merupakan seorang pentadbir yang berwibawa. Beliau meneruskan usaha untuk membangunkan sekolah itu dari segi akademik dan ko-kurikulum terutamanya sukan. Menjelang tahun 1934, kelas-kelas yang ditawarkan di sekolah ini merangkumi Primary I, Primary II, Std. 1, Std. 2, Std. 3, Std. 4 dan Std. 5. Seterusnya kelas Junior Cambridge yang bermula pada tahun 1934 juga berjaya menempah kejayaan yang cemerlang. Selama 3 tahun berturut-turut, semua calon yang menduduki peperiksaan itu lulus. Pada masa yang sama, usaha juga dilakukan untuk memperkenalkan Bahasa Melayu serta Bahasa Cina di dalam kurikulumnya. Malah Pengetua sendiri mengambil inisiatif untuk mengajar Bahasa Melayu. (15)

Dalam tahun 1936 sebuah bangunan tambahan berbentuk `L` yang terdiri daripada sebuah dewan, kantin dan bilik guru telah siap dibina dengan perbelanjaan sebanyak $11,000. (16) Pembinaan bangunan tambahan ini telah memenuhi impian Rev. Horley. Bangunan tambahan itu yang
terdiri daripada Dewan dan 2 buah bilik darjah itu yang dibina atas usaha En. Yong Ngim Djin itu dibuka secara rasminya pada tahun 1936 oleh En. Marcus Rex, Residen British Perak pada masa itu.En.

- 6 -
Chong Wan Fook yang pada masa itu merupakan Ketua Pengakap Daerah telah dikurniakan Pingat Kebaktian oleh Sir Cecil Clementi yang datang khusus untuk tujuan ini. (17)

Pada tahun yang sama juga Majalah tahunan sekolah “KACSIAN” mula diterbitkan. Majalah tersebut terus diterbitkan sehingga kini kecuali di antara tahun 1941-1946 apabila berlakunya Perang Dunia Kedua. Kelas “School Certificate” yang pertama telah dibentuk pada tahun 1937. Kelas ini terdiri daripada 13 orang pelajar sahaja. Kelas percubaan ini terbukti berjaya apabila 12 daripada 13 calonnya lulus Peperiksaan Senior Cambridge. Di antara tahun 1938 dan 1939, sekolah ini berjaya mencapai 75% kelulusan. Namun begitu kelas tersebut berhenti pada tahun 1940 di atas arahan Jabatan Pendidikan. Kelas ini hanya disambung semula pada tahun 1948. (18)

Di dalam bidang sukan pula, pencapaian yang diperolehi oleh pasukan-pasukan sekolah adalah sangat membanggakan. Di dalam permainan hoki, pasukan sekolah berjaya menjuarai Too Jee Lim Shield di dalam Pertandingan Permainan Antara A.C.S Perak. Di dalam permainan bola lisut pasukan sekolah telah berjaya memperolehi beberapa kemenangan. Selain daripada itu minat pelajar-pelajar terhadap sukan renang juga digalakkan dan jurulatih-jurulatih mengadakan sessi-sessi latihan setiap minggu di Taman Eu Tong Seng, Kolam Renang Chong Sin dan Kolam Renang Talam Mines.

Pada tahun 1939 En. Yong Ngim Djin telah ditukarkan ke Singapura dan Rev. Doughlas P. Coole mengambil alih tugas sebagai Guru Besar di sekolah ini. Beliau bertugas sehingga tahun 1941 kerana pada masa itu Tanah Melayu telah dijajah oleh tentera Jepun. Di bawah pentadbiran Rev. Coole, sekolah ini terus mengekalkan taraf pencapaian akademik dan kesukanan Pasukan Larian Berganti-ganti sekolah telah berjaya menjuarai Malayan Inter-School Half-Mile Relay dalam All-Malayan Athletic Sports yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1939. Dalam pada itu isteri Guru Besar, Pn. Coole telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan nyanyian dan muzik di dalam kurikulum sekolah. Kumpulan koir sekolah di bawah pimpinan Pn. Coole telah diikhtiraf sebagai kumpulan koir sekolah yang terbaik di antara sekolah-sekolah Methodist di All Malayan M.Y.P * Institute di Ipoh pada tahun 1940. (* Methodist Youth Fellowship )

Dalam tahun 1941, bangunan-bangunan di sekolah ini telah diduduki oleh Tentera Jepun semasa berlakunya Perang Dunia Kedua. Pada waktu itu, persekolahan diberhentikan. Tentera Jepun pernah menggunakan sekolah ini sebagai ibu pejabat mereka. Maka tidak mustahil jika dikatakan bahawa sekolah ini pada zaman Jepun pernah dijadikan tempat pentadbiran, tempat penahanan dan tempat menghukum bunuh `pesalah-pesalah` yang kebanyakan terdiri daripada orang-orang yang menentang Kerajaan Jepun. Setelah perang tamat pada bulan Ogos 1945, tentera Malayan People’s Anti Japanese Army pernah menduduki bangunan sekolah ini selama beberapa minggu. Di sini saya ingin memaklumkan bahawa bangunan sekolah yang dimaksudkan itu ialah S.R.K. Methodist (A.C.S) Kampar sekarang kerana Sek. Men. Kebangsaan Methodist (A.C.S) Kampar masih lagi belum dibina.

Sekolah ini dibuka semula pada bulan Oktober 1945. Bangunan sekolah tersebut telah mengalami kerosakan yang teruk akibat peperangan yang berlarutan selama beberapa tahun lamanya. Pihak British pernah melancarkan peperangan secara habis-habisan untuk menentang kemaraan tentera

- 7 -
Jepun ke daerah Kampar selepas barisan pertahanan British di Jitra tewas di tangan Jepun. Pertempuran tersebut yang dikenali sebagai “The Battle Of Kampar” berlarutan selama 4 hari, iaitu dari 30hb. Disember,1941 hingga 2hb. Januari, 1942. Banyak rumah telah musnah akibat peperangan tersebut terutamanya di kawasan perumahan Aston Settlement. (19) Namun begitu pada 3hb. Januari, 1942, pihak British telah kalah dan berundur ke Bidor. Tentera Jepun mengambil alih pekan Kampar dan dari masa itu penduduk Kampar mulai hidup dalam zaman ketakutan dan kelaparan sehinggalah tentera Jepun berundur pada September 1945.

En. Wong Hean Kim dilantik sebagai Guru Besar apabila sekolah Anglo-Chinese School, Kampar di buka semula pada bulan Oktober 1945. beliau telah berusaha keras untuk mencari sumber kewangan untuk memulihkan semula keadaan fizikal sekolah itu. Beliau telah menerima pinjaman pemulihan sebanyak $1,420 dari Pentadbiran Tentera British (British Military Administration) untuk membaik pulih sekolah itu. (20) Pada waktu itu ramai pelajar lelaki dan perempuan yang melebihi umur memohon untuk belajar di sekolah ini. Masalah paling besar yang dihadapi ialah kekurangan buku-buku teks untuk pelajar-pelajar dan guru-guru. Ramai guru sementara diupah untuk membolehkan sessi persekolahan berjalan dengan lancar. Dalam tahun 1946, bilangan pelajar yang berdaftar ialah 411 orang iaitu melebihi angka sebelum perang iaitu hanya 380 sahaja. Bilangan ini merupakan suatu jumlah yang besar pada masa itu.

Pada bulan Januari 1947, En. V.D. Kuppusamy telah menggantikan En.Wong Hean Kim sebagai Guru Besar sekolah. Beliau merupakan seorang ahli pendidik yang berwibawa dan dibawah pentadbiran beliau, program pemulihan berjaya disempurnakan dengan pinjaman sebanyak $9,900 daripada Kerajaan dan geran sebanyak $6,837 daripada Methodist Crusade Fund. Dalam masa 2 tahun ini banyak pembaharuan telah diperkenalkan. Majalah KACSIAN muncul semula pada tahun 1947 dan terus dikeluarkan sehingga sekarang. Hari Ucapan juga diperkenalkan untuk menghargai pencapaian pelajar-pelajar di dalam bidang akademik dan ko-kurikulum. Sistem komunikasi yang membolehkan pengumuman dibuat dari Bilik Guru Besar ke semua kelas telah diperkenalkan. Selain daripada itu diadakan juga Museum Sekolah, Pasukan Pandu Puteri dan Unit Palang Merah. Dalam tahun yang sama juga Bahasa Melayu juga diperkenalkan semula dalam kurikulum Darjah 6 dan Darjah 7 dan pada tahun berikutnya, Bahasa Melayu diajar dari Darjah 3, 4 dan 5. Makmal Sains telah ditempatkan di sebuah bangunan yang lain dengan peralatan yang lebih lengkap.

Pada tahun 1948, pihak sekolah di bawah pentadbiran En. Kuppusamy terpaksa membuat rancangan yang lebih berani dan berwawasan untuk mengembangkan sekolah tersebut memandangkan masalah penempatan pelajar-pelajar yang turut membimbangkan para ibu bapa. Dalam pada itu, sekiranya sekolah itu hendak diperkembangkan lagi, ia haruslah diadakan di sebuah tapak yang baru kerana sudah tiada lagi tanah tambahan. Oleh itu salah satu alternatif yang terbaik ialah dengan menyewa Bangunan Goh Khoon yang terletak di seberang Jalan Gopeng (Jalan Kuala Dipang sekarang) selama 3 tahun. Bangunan ini terletak
bertentangan dengan sekolah ini. Seterusnya En. V.D. Kuppusamy melancarkan rancangan untuk membeli hartanah Goh Khoon itu dengan harga sebanyak $70,000 kerana tapak itu sungguh sesuai.

- 8 -
Pada bulan Januari 1952, hartanah tersebut telah berjaya dimiliki oleh pihak sekolah. Kos pengubahsuaian telah memakan belanja sebanyak $35,000. Dalam pada itu pihak sekolah juga bernasib baik kerana berjaya memperolehi geran kerajaan khas berjumlah $40,000 untuk digunakan dalam pembangunan sekolah. (21) Ia merupakan tapak baru bagi sekolah yang ada sekarang ini. Luas kawasan sekolah itu ialah kurang 2 ekar. Bermula dari waktu inilah sekolah tersebut telah berkembang menjadi sebuah Sekolah Menengah yang terkemuka di daerah Kampar. Menjelang tahun 1952, populasi sekolah ini telah meningkat kepada 533 orang pelajar manakala bilangan gurunya ialah 14 orang. Pada waktu ini ramai pelajar daripada sekolah Cina berdaftar untuk melanjutkan pelajaran yang berkelayakan maka kelas Std. 8 tidak dapat diadakan dan oleh demikian pelajar-pelajar Std. 7 terpaksa melanjutkan pelajaran (Std.8 ke atas) di sekolah-sekolah lain di luar Kampar seperti di Ipoh.

Pada 6hb. April, 1953, sekolah ini telah meraikan Jubli Emasnya dengan penuh gemilang. Berbagai acara telah diadakan untuk menyambut ulang tahun ke 50 penubuhannya termasuk Jublilee Reunion Dinner. Dalam pada itu beberapa orang kenamaan dan bekas Guru Besar juga turut menghadiri majlis ini. Pihak sekolah telah menjemput 5 orang bekas Pengetua sekolah ini untuk memeriahkan lagi majlis tersebut. Sempena ulang tahun ke 50, majalah sekolah telah menerbitkan edisi khas Golden Jubilee Number yang turut memaparkan sejarah ringkas sekolah ACS Kampar. Pada tahun ini juga Pesuruhjaya Tinggi, Sir Gerald Templer dan Lady Templer membuat lawatan mengejut ke sekolah ini pada 23 Oktober 1953.

Pada bulan Februari 1955, Klinik Pergigian Sekolah telah dibuka di sekolah ini di bawah tajaan “United Nations International Children’s Emergency Fund”. Dengan itu A.C.S Kampar telah menjadi salah satu daripada sebilangan kecil institusi pendidikan yang mempunyai seorang jururawat pergigian untuk menjaga kesihatan gigi pelajar-pelajarnya.

Pada 20hb. April, 1955, En. V.D. Kuppusamy telah bersara dan tempatnya telah digantikan oleh En. A. Thomas Ponniah dari Klang. Tetapi sebelum En. Kuppusamy bersara, beliau telah membuat permohonan untuk satu lagi geran daripada pihak Kerajaan untuk membina bangunan tambahan 3 tingkat kerana Dana Bangunan Sekolah (School Building Fund) masih lagi tidak mencukupi. Beliau bersama-sama dengan Jawatankuasa Dana Bangunan (Building Fund Committee)telah berusaha untuk mendapatkan dana untuk membina sebuah bangunan 3 tingkat yang menempatkan 9 buah bilik darjah di tapak Goh Khoon. Akhirnya satu Geran Kerajaan berjumlah $30,000 telah diberikan kepada pihak sekolah dan projek ini berjaya disempurnakan oleh En. A.T. Ponniah.

Menjelang tahun 1956, perjuangan rakyat Tanah Melayu untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka makin hebat dan hampir mencapai matlamatnya. Oleh itu Dasar Pendidikan Baru telah dirangka untuk membentuk satu Sistem Pendidikan Kebangsaan yang dapat membentuk kesedaran dan kesetiaan terhadap negara Malaya. Adalah diharapkan bahawa generasi baru ini akan menyumbangkan tenaga ke arah pembangunan dan kemakmuran negara Malaya yang kini diperintah oleh rakyatnya sendiri. Di bawah dasar pendidikan baru ini kerana penguasaan terhadap Bahasa Kebangsaan ini

- 9 -
amatlah penting untuk mencapai perpaduan nasional. Walaupun Bahasa Melayu kini diberi penekanan tetapi kepentingan Bahasa Inggeris juga tidak diabaikan kerana ia penting untuk mencapai kemajuan didalam bidang-bidang sains dan teknologi.

Pada tahun ini juga sebanyak 4 buah Primary Classes terpaksa diadakan pada waktu petang disebabkan masalah kekurangan bilik darjah. Ia dikenali sebagai Methodist Afternoon School (M.A.S) Seramai 730 orang pelajar menjalani persekolahan di sessi petang sejak 10hb. Januari, 1956. Seramai 21 orang guru telah ditugaskan untuk mengendalikan kelas-kelas sessi petang ini. Sebenarnya sekolah petang ini telahpun wujud sejak 25 tahun yang lalu oleh En. T.K. Cheong untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar lelaki dan perempuan yang melebihi had umur untuk melanjutkan pelajaran. Sekolah pagi adalah dikhaskan untuk pelajar-pelajar yang lebih muda ataupun menepati had umur. Oleh yang demikian Methodist Mission mengadakan “Afternoon Schools” ini untuk memberikan peluang kepada mereka yang kurang bernasib baik. Sekolah petang mendapat sambutan yang baik selepas Perang Dunia II kerana masyarakat mulai sedar terhadap kepentingan mempelajari B. Melayu dan B. Inggeris. Kebanyakan daripada pelajar-pelajar ini berasal daripada Sekolah Cina. Pendekata, kewujudan sekolah sessi petang ini adalah disebabkan bilangan sekolah di Tanah Melayu masih belum mencukupi.

Seterusnya Jawatankuasa Bangunan yang terdiri daripada ramai orang kenamaan dari pekan Kampar telah berjumpa sebanyak 6 kali semenjak penubuhannya pada tahun 1955 untuk membuat rancangan-rancangan untuk mendapatkan derma bagi membina sebuah bangunan 3 tingkat. Pengerusinya ialah En. Ng Yin Fong. Walaupun jumlah wang yang sepenuhnya untuk membina bangunan tersebut masih belum lagi diperolehi sepenuhnya, kerja-kerja pembinaan telah dijalankan. Seterusnya Geran Kerajaan sebanyak $30,000 telah akhirnya melengkapkan dana untuk membina bangunan tersebut. Bangunan tersebut akhirnya siap dibina pada bulan Januari 1957. (22) Berbagai aktiviti telah dijalankan untuk mengutip derma termasuklah “The Dollar Brick Fund” dimana setiap pelajar menyumbangkan sebanyak $1 seorang dan “Food and Fun Fair”.

Berikutan dengan pengenalan Dasar Pendidikan Baru, usaha yang giat sedang dijalankan untuk meningkatkan taraf Bahasa Kebangsaan di sekolah Inggeris ini. Sekolah ini terus memainkan peranan yang besar untuk mendidik rakyat Malay yang muda untuk semangat perpaduan nasional di kalangan pelajar-pelajaryang terdiri daripada berbilang bangsa Melayu, Cina dan India bekerja, bermain serta bergaul secara bebas di antara satu sama lain sama ada di dalam bilik darjah ataupun padang. Pada tahun 1956 bilangan pelajar yang berdaftar di sekolah ini sudah mencapai 1112 orang. Klasifikasi kaum untuk pelajar-prelajar adalah seperti berikut : Melayu (177), Cina (746), India (183) dan lain-lain (6). Bilangan pelajar lelaki ialah 698 orang dan bilangan pelajar perempuan ialah 414 orang. Bilangan guru yang mengajar di sekolah ini pada masa itu ialah seramai 58 orang. (23)

Seterusnya untuk peperiksaan Cambridge School Cetificate, sekolah ini telah mencapai 85% kelulusan dalam peperiksaan 1955. Daripada 33 yang lulus, 7 memperolehi Gred 1, 12 Gred 2 dan 14 Gred 3. Mata pelajaran Bahasa Melayu diajar dari Darjah 4 sehingga Tingkatan 3. Pelajar-pelajar

- 10 -
Darjah 5 dan Darjah 6 belajar seperti biasa di waktu pagi. Setiap kelas diperuntukan sebanyak 2 waktu untuk mata pelajaran B. Melayu dalam seminggu. Dalam pada itu kelas-kelas B. Melayu untuk Tingkatan 1, 2 dan 3 telah diadakan pada waktu petang dari 5.30 petang hingga 8.00 malam. Setiap kelas diperuntukan masa selama 45 minit. Pihak sekolah bercadang untuk memperkenalkan mata pelajaran Bahasa Melayu di dalam kurikulum Tingkatan 4 pada tahun 1957 supaya B. Melayu boleh diambil sebagai salah satu subjek dalam School Certificate Examination pada tahun 1958. (24) Untuk menjayakan hasrat ini guru-guru sekolah ini juga mengambil inisiatif untuk mempelajari serta mendalami Bahasa Melayu. Oleh itu mereka telah membentuk satu kelas untuk mempelajari Bahasa Kebangsaan. Kelas ini diadakan sebanyak 3 kali seminggu. En. Mohd. Zain b. Daud, seorang kakitangan sekolah ini telah dipilih untuk mengendalikan kelas tersebut.

Pada 2hb. Mac, 1957 bangunan 3 tingkat yang mengandungi 9 buah darjah telah dibuka secara rasminya oleh Y.T.M Raja Muda. Kemudahan-kemudahan untuk menjalani kegiatan-kegiatan kerja pertukangan kayu, jahitan, menaip, menyimpan kira-kira dan Sains Rumahtangga telah disediakan buat pertama kalinya. Pasukan Pancaragam yang pertama juga ditubuhkan pada tahun 1957 di bawah En. Donald Smith ( seorang guru di sekolah ini ). Kelas-kelas Peralihan juga ditubuhkan untuk membantu pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah vernakular menyesuaikan diri setelah bertukar ke bahasa perantaraan yang lain. (25) Bangunan ini juga mengandungi kemudahan tandas. Pada tahun ini juga negara kita telah mencapai kemerdekaan. Justeru itu sekolah turut memainkan peranan untuk mendidik dan melatih golongan yang muda supaya menjadi rakyat yang setia dan berguna kepada negara yang baru ini.

Bilangan guru yang bertugas di sekolah ini pada tahun 1957 ialah seramai 43 orang. Pada masa ini sudah terdapat 32 buah bilik darjah di sekolah ini untuk menampung bilangan pelajar seramai 1,302 orang. Perpustakaan sekolah telah dipindahkan ke bangunan baru dan ia kini menpunyai 1,256 buah buku. Kelas Perdagangan mula diperkenalkan di mana Kerajaan telah memberikan geran untuk membeli 29 buah mesin taip. Pelajar-pelajar dari tingkatan 1, 2 dan 4 diajar menyimpan kira-kira dan menaip. Dalam pada itu pelajar- pelajar dari sekolah-sekolah Cina, Melayu dan Tamil menerima kursus intensif dalam Bahasa Inggeris di Kelas Peralihan dan S.M.C. mulai tahun ini untuk menyadiakan mereka memasuki kelas Tingkatan 1 bersama-sama dengan calon-calon yang berjaya dalam Peperiksaan Kemasukan Sekolah Menengah. Bahasa Kebangsaan diajar dari Darjah 1 ke Darjah 6 dan Kelas Peralihan. Setiap kelas diperuntukkan 4 waktu seminggu. Semua pelajar Tingkatan 3 mengambil Bahasa Kebangsaan dalam Peperiksaan Lower Certificate of Examination. (26)

Begitulah laporan secara terperinci mengenai sejarah penubuhan serta perkembangan Anglo-Chinese School sebelum Kemerdekaan. Sekolah ini sudah mendapatkan status Sekolah Bantuan Kerajaan (Government Aided School) semenjak awal tahun 1950 an dalam bentuk geran serta bayaran gaji untuk kakitangannya. Walaupun semenjak awal tahun 1957, sekolah ini sudah mempunyai 2 buah bangunan yang terletak di tapak yang berlainan namun ia masih lagi merupakan satu sekolah yang menempatkan kedua-dua Bahagian Sekolah Rendah serta Sekolah Menengah di bawah satu pentadbiran.

- 11 -
(E) Perkembangan Anglo-Chinese School, Kampar Selepas Kemerdekaan ( 1958-2002 )

Semenjak tahun 1950 langkah-langkah telah diambil untuk mengkaji semula sistem pendidikan di negara ini supaya bersesuaian dengan kehendak dan aspirasi rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Agenda utama pada masa itu ialah merangka dasar-dasar untuk membangunkan pendidikan Melayu. Semasa Malaya sedang bergerak ke arah kemerdekaan, langkah-langkah telah diambil untuk memperkenalkan proses evolusi di dalam sistem pendidikan nasional. Justeru itu Dasar Pendidikan Nasional mula dirangka pada Ogos 1955 apabila Jawatankuasa Khas ditubuh dan dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan, Tun Abdul Razak. Jawatankuasa tersebut mengemukakan cadangan-cadangan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan dalam proses yang sama mengekalkan bahasa-bahasa serta kebudayaan-kebudayaan kaum lain di Persekutuan itu. (27)

Jawatankuasa yang lain dikenali sebagai Jawatankuasa Razak mengemukakan usul-usul tertentu yang kemudiannya diterima oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan kemudiannya dijadikan asas untuk pembentukan Ordinan Pendidikan 1957. Jawatankuasa Razak telah mengemukakan dasar-dasar seperti berikut yang seterusnya menjadi garis panduan kepada semua sekolah di Malaya yang merdeka termasuklah Sekolah Anglo-Chinese, Kampar.

(1) Menteri Pendidikan bertanggungjawab terhadap pendidikan sekolah menengah, pendidikan lepasan sekolah menengah, pendidikan teknikal,latihan perguruan dan hal-hal lain yang berkaitan dengan pengawalan serta pembayaran geran-geran kepada pihak berkuasa pendidikan tempatan untuk pendidikan sekolah rendah.
(2) Penubuhan pihak berkuasa pendidikan tempatan (jabatan) yang akan bertanggungjawab terhadap pendidikan sekolah rendah dan dibenarkan mendapatkan sumbangan kewangan daripada masyarakat tempatan menerusi kaedah-keadah yang diluluskan.
(3) Penubuhan Badan Nazir yang bebas.
(4) Menbenarkan 2 jenis sekolah rendah ditubuhkan terutamanya sekolah tanggungan persendirian dan sekolah bantuan kerajaan.
(5) Membenarkan hanya 2 jenis sekolah menengah ditubuhkan terutamanya sekolah tanggungan persendirian dan sekolah bantuan kerajaan.
(6) Profesion perguruan disusun semula.
(7) Badan dan lembaga pengurus sekolah ditubuhkan di semua sekolah.
(8) Pendidikan lepasan sekolah menengah dan lebih tinggi daripada itu serta pendidikan separuh masa disediakan.
(9) Pendidikan teknikal diselenggarakan dan diperkembangkan dan dalam 3 peringkat, iaitu Kolej Teknikal, Insitusi Teknikal dan Sekolah Perdagangan. (28)

Seterusnya Jawatankuasa tersebut juga mengusulkan supaya Bahasa Melayu dan Bahasa
Inggeris dijadikan mata pelajaran-mata pelajaran wajib di kedua-dua sekolah rendah dan sekolah menengah. Lower Certificate Of Education diperkenalkan di Tingkatan 3 dan Federation Of Malaya Certificate Of Education di Tingkatan 5. Selain daripada itu Laporan Razak juga menekankan

- 12 -
pengenalan sukatan pelajaran yang sama di semua sekolah di Persekutuan Tanah Melayu untuk melahirkan negara Malaya yang bersatu padu.

Selepas Kemerdekaan, Anglo-Chinese School maju selangkah lagi di mana semenjak tahun 1958 sekolah tersebut telah dipecahkan kepada 2 entiti yang berasingan. Langkah pemisahan ini diambil atas kehendak Dasar Pendidikan yang baru. Bahagian Sekolah Rendah yang terdiri daripada 21 kelas, 891 murid dan 26 orang guru diletakkan dibawah pentadbiran En. Fung Ung Ming (Guru Besar) dan Lembaga Pengurus Sekolah. Seterusnya Bahagian Sekolah Menengah pula iaitu bermula dari Kelas Peralihan hingga Tingkatan 5 yang terdiri daripada 14 kelas, 506 orang pelajar dan 20 orang guru terus berada di bawah pentadbiran En. A.T. Ponniah (Pengetua) dan Lembaga Pengurus Sekolah. (29)

Sekolah ini terus berkembang dan mencapai prestasi yang baik di dalam pelbagai bidang. Apabila keputusan L.C.E diumumkan pada awal tahun 1958, ramai pelajar yang cemerlang pergi ke Ipoh untuk memasuki Aliran Sains di sana. Ini ialah kerana sekolah ini hanya menawarkan mata pelajaran Aliran Sastera di Tingkatan 4. Oleh itu untuk mengurangan pengaliran keluar pelajar-pelajar yang pandai serta untuk meringankan beban pelajar yang miskin maka mata palajaran Sains Tulin seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan diperkenalkan buat pertama kalinya di Tingkatan 4 pada tahun 1959. En. A.T. Ponniah bersara pada penghujung tahun 1959 selepas berkhidmat selama 4 1/2 tahun di Kampar.

Pada bulan Januari 1960 En. Tai Swee Kee seorang graduan Diploma dari Raffles College telah dilantik sebagai Pengetua. Pada masa itu bilangan pelajar di sekolah tersebut ialah 660 orang. Bilangan kelas yang ada ialah 17 buah. Buat pertama kalinya satu kelas Tingkatan 1 Aliran Melayu telah diadakan di sekolah. Pembentukan Kelas Aliran Melayu ini seterusnya menjadi asas kepada penubuhan Sek. Men. Kebangsaan Kampar pada tahun 1970. Selain daripada itu Kelas Pendidikan Lanjutan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu juga diadakan dengan En. Tan Beng Lee sebagai Penyelia. Disebabkan bilangan pelajar yang mendaftar di sekolah ini makin meningkat maka masalah kekurangan bilik darjah timbul semula. Kantin sekolah terpaksa digunakan sebagai bilik darjah sementara.

Oleh itu En. Tai Swee Kee terpaksa merancangkan projek kutipan derma untuk mendirikan sebuah blok bangunan tambahan 3 tingkat yang mengandungi 9 buah bilik darjah berharga $71,000. Pada tahun 1961 bilangan pelajar mencapai 841 orang dan bilangan kelas berkembang menjadi 22 buah. Projek ini mendapat sokongan yang kuat daripada OPA ( Old Pupils’ Association ). Ramai orang berada di daerah Kampar menghulurkan sumbangan kewangan. Sumbangan Kerajaan ($40,000), pelajar-pelajar ($7,717) serta Food And Fun Fair ($6,277) telah membolehkan kerja pembinaan bangunan tersebut dimulakan pada bulan Disember 1961. (30) Namun begitu sebelum projek tersebut siap, En. Tai Swee Kee telah bertukar ke Sitiawan pada bulan Februari 1962 dan oleh itu tugas untuk menyiapkan projek itu dipikul oleh En. Gong Ngie Kong yang juga seorang lulusan Diploma Raffles

- 13 -
College. Bilangan pelajar yang berdaftar pada masa itu telah menjangkau 1,047 orang dan mereka ditempatkan di dalam 28 buah kelas. Bilangan guru yang mengajar di sekolah itu adalah seramai 43 orang.

Pada bulan Mei 1962, bangunan baru itu yang mengandungi 9 buah bilik darjah telah dibina dan boleh diduduki. En. Gong melanjutkan lagi projek pembinaan dengan menaikkan lagi bumbung Bangunan Goh Khoon untuk memuatkan sebuah perpustakaan. Untuk makluman, perpustakaan tersebut merupakan salah satu perpustakaan sekolah yang terbesar di negeri Perak pada masa itu. Bumbung Bangunan Goh Khoon itu dinaikkan untuk membolehkan satu lagi tingkat konkrit dibina dan tingkat tambahan ini boleh menempatkan 3 buah bilik darjah. Kos pembinaan perpustakaan itu berjumlah $30,000. Pihak kakitangan sekolah juga turut membantu dengan mendermakam kerusi-kerusi untuk perpustakaan tersebut. (31)

Dalam pada itu Sekolah Menengah A.C.S. Kampar ini juga merupakan Sekolah Menengah Methodist Mission yang ketiga besar di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1962 selepas A.C.S Ipoh (1,397 pelajar) dan M.B.S Kuala Lumpur (1,050 pelajar) . Bilangan pelajar yang berdaftar di sekolah ini pada tahun tersebut ialah 1,047. (32) Dalam tahun ini juga Makmal Biologi diwujudkan dengan mengubahsuai 3 buah bilik darjah yang terletak sebelah menyebelah. Menjelang tahun 1963, sekolah ini telah mempunyai penempatan dan kemudahan yang mencukupi dan dengan itu cukup setanding dengan sekolah-sekolah di bandar. Kini tumpuan boleh disalurkan sepenuhkan ke arah perkembangan fizikal, mental dan rohani pelajar-pelajar supaya sekolah ini akan dapat terus melahirkan anggota-anggota masyarakat yang berguna. (33) Dalam tahun ini juga bilangan pelajar yang berdaftar ialah 1,239 orang dan ini menjadikan Sekolah Menengah Methodist kedua besarnya di Persekutuan.

Tahun 1963 juga merupakan tahun yang penuh meriah kerana pihak sekolah merayakan Jubli Intan atau Diamond Jubilee pada 7hb. September, 1963 untuk meraikan ulang tahun ke 60 tahun penubuhannya. Pelbagai acara telah diadakan untuk memperingati Jubli Intan itu seperti Inter-Methodist School Games, permainan di antara O.P.A. dengan anggota Kelab Guru, pertunjukan konsert dan “Re-union Dinner” yang ditajakan oleh O.P.A. Pada malam itu diadakan acara perarakan tanglung serta kereta berhias di pekan Kampar padang awam. Sempena Perayaan Jubli Intan itu, pihak sekolah telah menjemput tetamu khas Yang Berhormat Menteri Pelajaran, Kapten Abdul Hamid Khan untuk membuka secara rasmi bangunan baru yang mengandungi 12 bilik darjah, perpustakaan dan bilik guru. Semasa upacara perasmian dijalankan, Kumpulan Koir Sekolah telah mendendangkan Lagu Jubli Intan dengan diiringi ileh Pancaragam Sekolah. Lagu ini seterusnya dijadikan Lagu Sekolah dan dinyanyikan di masa perhimpunan sehingga kini.

Berikutan dengan keputusan yang cemerlang yang diperolehi oleh pelajar-pelajar perintis Tingkatan 1 Aliran Melayu ( tahun 1960 ) di dalam L.C.E. maka Ketua Pengawai Pelajaran Perak telah mengarahkan supaya kelas-kelas tersebut juga dibenarkan menerima pelajar-pelajar dari Ipoh dan Batu Gajah. (34) Dalam pada itu sekolah ini juga bekerjasama dengan sekolah rendahnya untuk memulakan perkhidmatan “Bas Sekolah” mulai Penggal Kedua. Sebanyak 2 buah bas baru telah dibeli

- 14 -
oleh sekolah itu untuk membawa pelajar-pelajar dari sekitar Gopeng, Malim Nawar dan Tronoh Mines ke sekolah-sekolah tersebut di Kampar. Pada 19hb. November, 1963 DYMM Sultan Perak dan DYMM Raja Perumpuan melawat sekolah ini pada pukul 4.00 petang, semasa lawatan rasmi ke Daerah Kampar. Ini merupakan lawatan baginda yang kedua ke sekolah ini. Sultan Perak pernah melawati sekolah ini pada tahun 1957 sebagai Raja Muda untuk merasmikan bangunan pertama 3 tingkat ini. Baginda diraikan dengan jamuan teh dan pertunjukan konsert di perpustakaan sekolah.

Dalam tahun ini juga Lencana Sekolah yang baru telah dicipta untuk mengganti lencana yang lama. Lencana sekolah yang baru itu mempunyai ciri-ciri berikut :

a) Buku – melambangkan Ilmu Pengetahuan
b) Bunga Raya – melambangkan Persekutuan Malaysia
c) Insan – melambangkan warganegaraan yang berguna kepada bangsa dan negara

Cogankata sekolah ini ialah “Our Utmost For The Highest” ataupun “Keupayaan Kami Untuk Yang Tertinggi”. Cogankata ini yang digunakan sejak 1947 diambil daripada slogan Gladstone. Falsafah yang terkandung di dalam cogankata ini ialah ia menggambarkan aspirasi sekolah yang inginkan semua pelajarnya mencurahkan segenap tenaga dan usaha mereka untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelbagai bidang, baik dalam bidang akademik mahupun bidang ko-kurikulum. (35)

Menjelang tahun 1964, terdapat lebih daripada 100 buah Sekolah Methodist di seluruh Malaysia dengan jumlah pelajar yang melebihi 79,000 orang. Pada tahun ini juga Majalah KACSIAN menerbitkan edisi khas “Special Kampar Issue” yang memuat laporan secara terperinci mengenai sejarah pengasasan dan perkembangan Kampar. Bahan-bahan yang terkandung di dalam ruangan khas ini meliputi artikel-artikel serta gamber-gambar yang dihasilkan oleh guru-guru serta pelajar-pelajar dari sekolah ini.

Dalam tahun 1965, pihak sekolah merancang untuk membina sebuah lagi bangunan 3 tingkat yang mengandungi 12 buah bilik darjah di Tingkat Bawah dan Tingkat Kedua manakala sebuah Dewan di Tingkat Pertama. Pihak sekolah selama ini bergantung kepada Gereja Methodist yang terletak di seberang jalan untuk mengadakan majlis-majlis tertentu. Oleh itu sudah sampai masanya pihak sekolah ini mempunyai sebuah Dewan yang tersendiri untuk kegunaannya. Usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah untuk mendirikan sebuah bangunan tambahan yang mengandungi sebuah dewan serbaguna yang berukuran 30 kaki x 160 kaki, 12 buah bilik darjah dan dua buah tandas untuk pelajar-pelajar perumpuan sahaja. Projek tersebut melibatkan perbalanjaan melebihi $140,000. Usaha memungut derma telah dijalankan malalui projek “Building Funds” dan “Food and Fun Fair”. En. Chin Sun Khoon yang merupakan Pengerusi O.P.A. adalah orang pertama menyumbangkan derma untuk projek ini. Beliau telah menyumbangkan derma sebanyak $10,000.

- 15 -
Pada tahun 1966, Jawatankuasa Panitia telah ditubuhkan untuk semua subjek. Setiap Jawatankuasa diketuai oleh seorang Ketua Panitia atau Pengerusi dan ahli-ahlinya terdiri daripada guru-guru yang mengajar mata pelajaran tersebut. Jawatankuasa ini bertanggungjawab menguruskan semua hal yang berkaitan dengan subjek masing-masing.

Bangunan sekolah yang baru (bangunan yang ketiga) telah siap dibina pada tahun 1966 dan ia dibuka secara rasmi pada 17hb. Mac, 1967 oleh Menteri Pelajaran, Yang Berhormat Encik Mohamed Khir Johari. Beliau barasa kagum di atas semangat `gotong royong` di kalangan masyarakat sekolah dan masyarakat Kampar mengembelingkan tenaga untuk menjayakan projek pembinaan bangunan baru ini. Oleh kerana itu beliau kemudiannya meluluskan geran bernilai $50,000 untuk sekolah ini dan geran itu diterima oleh En. Chin Sun Khoon selaku Pengerusi Jawatankuasa Bangunan Sekolah. (36) Sumber kewangan yang diperolehi itu seterusnya digunakan untuk memperbaiki kemudahan-kemudahan di sekolah ini.

Oleh itu beberapa buah lagi projek telah dirancang untuk tujuan ini. Bahagian belakang kawasan sekolah ini telah dinaikkan dan ditukarkan menjadi gelanggang bola keranjang / bola tampar, gelanggang bola jaring / tenis dan sepak takraw / badminton. Tapak perhimpunan dan lorong kenderaan telah ditarkan untuk mencegah masalah kesesakan lalu lintas di kawasan sekolah. Satu Badan Waden Trafik telah ditubuhkan untuk mengendalikan hal-ehwal lalu lintas.

Semenjak tahun 1967, sekolah ini telah mencatatkan bilangan pelajar yang paling ramai sekali. Justeru itu sekolah ini memegang rekod sebagai Sekolah Menengah Methodist tanpa Tingkatan 6 yang terbesar bukan sahaja di Negeri Perak malah di seluruh Malaysia. (37) Pada tahun 1968, saiz Bilik Guru dan Bilik Sains Rumahtangga dipanjangkan sebanyak 25 kali lagi. Pelajar-pelajar daripada Persatuan Sastera Tingkatan 5 telah mengorak langkah menerbitkan makalah “ BERITA ”. Pelajar-pelajar Tingkatan 4 juga tidak ketinggalan menerbitkan itu makalah “SUARA KACSIAN” mereka sendiri. Kedua-dua penerbitan itu merupakan aktiviti-aktiviti usahasama dengan kooperasi sekolah. Keuntungan yang diperolehi daripada penjualan makalah-makalah itu digunakan untuk membantu pelajar-pelajar miskin di sekolah.

Pada tahun 1969, Pejabat Sekolah telah diubahsuaikan. Setelah siap, Pejabat itu kini mempunyai 2 tingkat dengan 1 tingkat tambahan di bawah tanah. Tingkat atas dijadikan bilik mesyuarat. Pejabat sekolah ditempatkan di bahagian bawah dan ia dilengkapi dengan alat penghawa dingin. Dalam tahun ini juga seorang pelajar Tingkatan 2 (Aliran Melayu) yang bernama Mohd. Amin b. Nawi telah dinamakan Pahlawan Hang Tuah di atas keberanian beliau menyelamatkan 3 rakannya daripada mati lemas di dalam Sungai Kinta ( kawasan Bukit Pekan ). Sebagai menghargai jasanya sebagai wira kanak-kanak, Mohd. Amin telah diberikan layanan yang istimewa di dalam Perayaan Hari Kanak-Kanak pada 6hb. Oktober, 1969.

- 16 -
Pada tahun yang sama juga pihak sekolah memulakan projek untuk membina sebuah lagi bangunan tambahan. Bangunan 3 tingkat ( yang keempat dan yang terakhir ) yang bernilai $100,000 ini terletak di antara Blok Pejabat sekolah dan Blok Dewan sekolah. Ia akan menempatkan sebuah Bengkel Seni Perusahaan, sebuah Makmal Sains dan 7 buah bilik darjah tambahan. Berhubung dengan projek tersebut, pihak sekolah telah menerima Geran Kerajaan sebanyak $30,000 dan selebihnya daripada hasil derma orang ramai. Ahli-ahli keluarga mendiang Pn. Annie Ong Teng Kim (bekas ahli Lembaga Pengurus Sekolah – School Board Of Governors) telah mendermakan wang sebanyak $3,000 kepada pihak sekolah untuk projek tersebut. Sebagai tanda penghargaan,pihak sekolah telah menamakan Makmal Sains itu sempena namanya. Seterusnya pihak sekolah telah menamakan Makmal Sains itu sempena namanya. Seterusnya pihak sekolah juga menerima sumbangan kewangan sebanyak $10,000 daripada keluarga mendiang En. Chin Sun Fee dan nama beliau diabadikan di dalam Blok Seni Perusahaan. (38) Semasa blok bangunan baru tersebut sedang dibina, pihak sekolah seterusnya membuat rancangan untuk membina sebuah gelanggang badminton tertutup yang boleh juga digunakan sebagai gimnasium. Pembinaan gelanggang tertutup itu melibatkan kos sebanyak $20,000 dan ia merupakan gelanggang tertutup sekolah yang pertama di Kampar.

Pada tahun 1970, Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar telah dibina dan sekolah ini bersedia untuk menyerap pelajar-pelajar Aliran Melayu Tingkatan 1, 2 dan 3 dari sekolah ini. Pelajar-pelajar Aliran Melayu dari Tingkatan 4 dan 5 juga akan diserapkan oleh sekolah baru itu pada tahun 1971. Bagaimanapun, sekolah itu yang diterajui oleh En. Mohd Zain b. Daud sebagai Pengetuanya yang pertama masih diletakkan di bawah pengawasan sekolah ini sehingga pada tahun 1973 apabila ia diasingkan secara rasmi. (39) Di antara tahun 1971-1972, peratus kelulusan pelajar-pelajar Tingkatan 5 di dalam M.C.E. telah jatuh ke bawah paras 70%. Selama ini peratus kelulusan pelajar-pelajar dalam M.C.E. sentiasa melebihi 70%. Punca utamanya ialah mulai tahun 1971, kelulusan dalam kertas Bahasa Malaysia adalah diwajibkan untuk lulus seluruh peperiksaan M.C.E. Apabila Kertas tersebut diperkenalkan, ramai pelajar telah gagal dan memperolehi sijil Gred 4 (G.C.E) sahaja.

Pada 22hb. September, 1972, Blok Bangunan Seni Perusahaan telah dibuka secara rasminya oleh Tuan Haji Hamdan b. Sheikh Tahir, Pengarah Pendidikan Malaysia. Pada tahun 1973, Lembaga Pengurus Sekolah telah bersetuju untuk menukarkan nama sekolah dari Anglo-Chinese Secondary School, Kampar kepada Sekolah Menengah Methodist (A.C.S), Kampar. (40) Mulai tahun 1976, semua pelajar Tingkatan 1 dikecualikan daripada membayar yuran sekolah. Ini ialah mengorak langkah ke arah pendidikan yang percuma menjelang tahun 1980. Pada 31hb. Disember, 1978, En. Gong Ngie Kong bersara selepas berkhidmat sebagai Pengetua di sekolah ini selama 17 tahun. Tempat beliau telah digantikan oleh En. Low Mui Chuan pada tahun 1979.

Mulai tahun 1979, penghantaran pelajar-pelajar daripada Sek. Men. Ren. Malim Nawar, Perak
(16 km daripada Kampar) untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 4 di sekolah ini telah dihentikan kerana sekolah tersebut sudahpun memulakan kelas-kelas Tingkatan Empatnya sendiri. Oleh itu bilangan pelajar yang berdaftar di sekolah ini berkurangan sedikit iaitu daripada 1,679 pada tahun 1978 kepada 1,580 pada tahun 1979. Bilangan guru di sekolah ini ialah 62 orang pada masa itu.

- 17 -
Dari segi akedemik pula, pretasi pencapaian pelajar-pelajar Tingkatan 5 di dalam peperiksaan M.C.E. 1979 telah meningkat kepada 77%. Peratus kelulusan yang tinggi ini menjadikan sekolah ini salah sebuah sekolah yang terbaik di Negeri Perak. Pada tahun 1980, pendidikan sekolah menengah menjadi percuma untuk semua pelajar. Ini termasuk Skim Bantuan Buku Teks dan Biasiswa yang bertujuan untuk menyediakan peluang pendidikan kepada semua lapisan rakyat termasuk yang termiskin. Pada tahun ini juga pihak sekolah bercadang untuk membaikpulih serta mengubahsuai keadaan fizikal bangunan-bangunan di sekolah ini. Program pengindahan sekolah yang dijalankan akan memberikan wajah baru kepada sekolah ini. Dalam pada itu tahun 1980 menandakan bermulanya B. Malaysia sebagai bahasa penghantar di semua-semua Sekolah Menengah sejajar dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Pelajar-pelajar mula diberikan pendidikan percuma sehingga tamat persekolahan. Sebelumnya pelajar-pelajar Sekolah Menengah Aliran Inggeris dikehendaki membayar yuran setiap bulan.

Di bawah pentadbiran baru ini, beberapa perubahan telah dilakukan untuk memperbaiki keadaan bangunan serta persekitaran sekolah ini. Di antara pembaharuan-penbaharuan yang diadakan adalah seperti berikut :

- Perlancaran Kempen Kebersihan serta mengadakan Pertandingan Kebersihan setiap minggu di mana `Piala Kebersihan` diberikan kepada kelas terbersih.
- Perlancaran `Kempen Keceriaan` untuk mengindahkan kawasan persekitaran sekolah. Pasu-pasu bunga ditempatkan di sepanjang kaki lima Tingkat Bawah bangunan sekolah. Pelajar-pelajar digalakkan supaya membersihkan dan menghiasi bilik darjah masing-masing.
- Sebuah surau telah diadakan untuk memudahkan pelajar-pelajar menunaikan tanggungjawab agama mereka.
- Rayuan derma untuk menghawa dinginkan perpustakaan sekolah ini juga mendapat sambutan yang baik. Sebanyak $13,000 telah berjaya dipungut untuk projek ini. Sebanyak 6 buah alat penghawa dingin telah dipasang di perpustakaan itu untuk membolehkan pelajar-pelajar belajar dengan selesa. Banyak buku telah dibeli untuk nenambahkan bilangan buku yang sedia ada.
- Kesemua pengawas perpustakaan telah diberikan lencana dan tali leher khas dan mereka diwajibkan memakainya semasa waktu sekolah. (41)

Bilangan pelajar pada awal tahun 1990 an masih menjangkaui tahap 2,000 orang. Pada tahun bulan September 1991, En. Low Mui Chuan meninggal dunia dan tempat beliau digantikan oleh En. K. Rajalingam pada tahun 1992. Pada masa tahun 1992, bilangan pelajar di sekolah ini agak ramai iaitu seramai 2070 orang dan bilangan guru ialah seramai 95 orang. Pengetua baru En. K. Rajalingam, telah melaksanakan beberapa buah projek di sepanjang waktu pentadbirannya sehingga beliau bersara pada tahun 2000. Di antara projek-projek yang telah dilaksanakan beliau ialah mengecat semula bangunan-bangunan sekolah, menubuhkan Pasukan Sofbol sehingga mengharumkan nama sekolah sehingga ke peringkat negeri dan menubuhkan Makmal Komputer pada tahun 1998.

- 18 -
Sempena dengan Ulangtahun ke 90 sekolah ini pada tahun 1993, Persatuan PIBG telah menganjurkan Majlis Jamuan Makan Malam untuk bekas-bekas pelajar A.C.S. Kampar pada 10 Julai 1993. Majlis tersebut bermula pada pukul 8.00 malam dan ramai bekas pelajar sekolah ini telah menghadiri majlis ini dan En. Tham Leong PPT merupakan Juru Acara Majlis. En. Gong Ngie Kong yang merupaka bekas Pengetua sekolah ini juga turut menghadiri majlis yang meriah ini. Pada tahun 1997, En. Gong Ngie Kong telah meninggal dunia dan jasa-jasa beliau membangunkan infrastruktur, akademik serta ko-kurikilum di sepanjang masa perkhidmatan beliau di sekolah ini akan dikenangi selama-lamanya.

Pada tahun 1994, sekumpulan pelajar Tingkatan 5 Sains mengambil bahagian dalam Expo Kemahiran Hidup Dan Reka Cipta Pelajar Peringkat Negeri Perak di bawah Guru Penasihat Projek Reka Cipta, En. Lai Mann Kheong. Pendedahan pelajar-pelajar kepada bidang reka cipta membolehkan mereka memperolehi ilmu yang berguna serta pengayaan pengalaman. Pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan 5 Aliran Sains terus aktif melibatkan diri dalam pertandingan-pertandingan reka cipta pada tahun-tahun seterusnya. Pada tahun 1999, Makmal Komputer mula menganjurkan Kursus-Kursus Komputer kepada guru-guru di peringkat daerah Kinta dan Gopeng.

Pada tahun 2000, Pengerusi PIBG, En. Tham Leong PPT telah berusaha untuk mendapatkan sumbangan kewangan daripada bekas-bekas pelajar A.C.S. Kampar untuk membaiki pulih 2 blok tandas lelaki yang telah usang itu serta membina satu lagi tangki pembentungan yang baru. Usaha beliau berjaya dan projek tersebut telah berjaya disiapkan pada tahun itu juga dengan perbelanjaan sebanyak Rm 17,000.

Mulai tahun 2001 S.M.K. Methodist (ACS) Kampar ditadbir oleh seorang Pengetua baru iaitu En Ng Sweet Kin. Beliau berasal daripada S.M.K. Methodist (ACS) Ipoh. Beliau telah berusaha melaksanakan projek-projek untuk memperbaiki keadaan fizikal dan kemudahan sekolah. Di antara projek-projek yang telah dijalankan ialah mengecat bangunan sekolah, melengkapi bilik-bilik darjah dengan meja dan kerusi baru, menukarkan dawai pagar di sekeliling sekolah yang usang dengan yang baru, mentarkan lorong serta jalan di sekitar sekolah, membaiki serta mengubahsuaikan Dewan Sekolah, menukarkan semua pintu bilik darjah di Blok Utama yang telah usang dan memasang pintu pagar besi di kelas-kelas serta bahagian-bahagian yang strategik bangunan-bangunan sekolah.

Sebanyak 43 buah kelas diadakan pada tahun ini dengan jumlah pelajar seramai 1,451 orang serta tenaga pengajar seramai 75 orang. Pada 31 Julai 2001, Dewan Sekolah yang telah diperbaki serta diubahsuai telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia En. Wong Lee Wah AMP. Perbelanjaan untuk projek ini dibiayai oleh En. Wong Lee Wah sendiri. Pada 4 April 2001, dua orang pelajar terbaik iaitu Kalpana Sehgal dan Jay Chiew Kien Teik yang mendapat 11 A1 dalam peperiksaan SPM 2000 telah dijemput untuk menghadiri satu jamuan meraikan pelajar-pelajar Cemerlang SPM 2000 seluruh Negara di Putra Jaya. Dalam majlis yang julung-julung kali diadakan ini, pelajar-pelajar berpeluang untuk beramah mesra bersama-sama dengan YAB Dato Seri Dr. Mahatir Mohammad, Perdana Menteri dan YAB Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri.

- 19 -
Dalam bidang ko-kurikulum pula, atlit-atlit sukan sekolah ini telah berjaya menjadi Johan keseluruhan MSSPK Kinta II. Pasukan sofbol sekolah pula menjadi Johan dalam Kejohanan MSSPK Daerah Kinta II. Seramai 11 orang pemain sofbol sekolah ini telah terpilih untuk mewakili Perak di Pertandingan Sofbol MSSM. Seterusnya seramai 8 orang pemain telah mewakili Malaysia dalam Pertandingan Sofbol Antara Sekolah-Sekolah ASEAN.

Pada tahun 2002, sekolah ini sekali lagi muncul sebagai sekolah yang terbaik di daerah Kampar kerana berjaya melahirkan ramai orang pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2001 ( 6 orang memperolehi 11 A dan 10 orang pelajar memperolehi 10 A ). Dalam bidang sukan pula, sekolah ini berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun 2001 dengan menjadi Juara Keseluruhan Antara Sekolah Menengah Daerah Kinta II.

(F) Rumusan

Sistem pendidikan negara kita berkembang maju semenjak Zaman Kemerdekaan. Jika di Zaman Penjajahan, dasar pelajaran telah dicorakkan untuk memenuhi matlamat penjajah iaitu `pecah dan perintah` namum kini sistem pendidikan Malaysia telah dibentuk selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk memupuk semangat perpaduan nasional yang benar-benar bersifat Malaysia. Jika pada Zaman Kolonial isi kandungan kurikulum sekolah-sekolah hanya setakat untuk membolehkan pelajar-pelajar Tanah Melayu menguasai pengetahuan `3 R` sahaja tetapi selepas Kemerdekaan kurikulumnya adalah lebih menyeluruh untuk menyediakan generasi muda untuk menghadapi cabaran-cabaran di zaman kemajuan sains dan teknologi.

Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah ini telah berkembang dengan pesatnya semenjak penubuhan pada April 1903. Semua ini adalah hasil daripada usaha keras, pengorbanan serta kerjasama kakitangan-kakitangan, pelajar-pelajar serta ahli-ahli masyarakat Kampar untuk membangun serta memajukan institusi pendidikan ini demi untuk kepentingan masa depan generasi yang akan datang. Memanglah tidak dapat disangka bahawa sekolah ini yang pada peringkat awalnya bertempat di sebuah bangunan Gereja di tengah pekan Kampar telah berkembang dengan begitu pesat dari segi infrastruktur serta pendaftaran pelajar, iaitu mencapai 2,085 orang pada tahun 1972. Program-program untuk membina bangunan-bangunan sekolah telah berjalan dengan begitu giat terutamanya di antara tahun 1950 an dan 1970 an telah berjaya membangunkan kemudahan infrastruktur di sekolah ini ke tahap yang agak memuaskan.

Selepas tahun 1972 sehingga kini (sewaktu penulisan dibuat) tiada lagi bangunan tambahan yang baru didirikan. Ini ialah kerana pihak sekolah menghadapi masalah kekurangan sumber kewangan dan lagipun ruang di kawasan sekolah ini telahpun digunakan secara sepenuhnya. Akhirnya kata, sekolah ini telah mampu berkembang serta berubah di luar jangkaan para pelajar, guru dan Pengetua yang lalu (sebelum merdeka). Seandainya Rev. Horley masih lagi hidup, beliau mungkin akan berasa amat bangga dan kagum terhadap kemajuan pesat yang dicapai oleh sekolah ini. Di antara tahun 1950 an sehingga 1970 an, masyarakat sekolah ini amat bertuah kerana berpeluang menikmati kemudahan yang paling banyak sekali di dalam Daerah Kampar ini.

- 20 -
NOTA KAKI

1) Profail Sek. Men. Methodist (A.C.S), Kampar, Institut Aminuddin Baki, K. Lumpur, Kementerian Pendidikan Malaysia, 1993.
2) Ho Seng Ong, Methodist Schools In Malaysia, Board Of Education Of The Malaya Annual Conference, Petaling Jaya Methodist Education Centre, 1964, hlm. 79.
3) The Kacsian, Volume 36, Sek. Men. Methodist (A.C.S) , Kampar, Ipoh, Rajan & Co., 1978, hlm.76.
4) Ho Seng Ong, op. Cit., hlm. 79.
5) Hicks, E.C., History Of English Schools In Perak, Ipoh, The Perak Library, 1958, hlm. 27.
6) The Kacsian-Diamond Jubilee Number,. Volume 21, Anglo-Chinese Secondary School, Kampar, Ipoh, Rajan & Co., 1963, hlm. 78.
7) Ho seng Ong, op. Cit., hlm. 138.
8) Ibid, hlm. 139.
9) Ibid, hlm. 21.
10) The Kacsian – Diamond Jubilee Number, op. Cit., hlm. 10.
11) Hicks, E.C., op. Cit., hlm. 27.
12) The Kacsian, Volume 36, op. Cit., hlm. 78.
13) Hicks, E.C., op. Cit., hlm. 28.
14) Ibid, hlm. 28.
15) The Kacsian – Diamond Jubilee Number, op. Cit., hlm. 11.
16) The Kacsian, Volume 36, op. Cit., hlm. 50.
17) Hicks, E.C., op. Cit., hlm. 28.
18) Ibid, hlm. 28.
19) The Kacsian – Special Kampar Issue, Volume 22, Anglo-Chinese Secondary School, Kampar, Ipoh, Rajan & Co., 1964, hlm. 36.
20) Ho Seng Ong, op. Cit., hlm. 624.
21) The Kacsian, Volume 36, op.cit., hlm.52.
22) The Kacsian, Volume 14, Anglo-Chinese School, Kampar, Ipoh, Regina Press, 1956, hlm. 2.
23) Ibid, hlm. 3.
24) Ibid, hlm. 4.
25) Ho Seng Ong, op. Cit., hlm. 626.
26) The Kacsian, Volume 15, Anglo-Chinese School, Kampar, Ipoh, Regina Press, 1957, hlm. 6.
27) Hakim Dato’ Abdul Aziz, Laporan Surohanjaya Di-Raja Mengenai Perkhidmatan Guru-Guru Malaysia Barat, K. Lumpur, Jabatan Chetak Kerajaan, 1968, hlm. 16.
28) Ibid, hlm. 16.
29) The Kacsian, Volume 36, op. cit., hlm. 55.
30) Ho Seng Ong, op. cit., hlm. 627.
31) The Kacsian, Volume 36, op. cit., hlm. 86.
32) The Kacsian, Volume 20, Anglo-Chinese Secondary School, Kampar, Ipoh, Rajan & Co., 1962, hlm. Editorial.
33) The Kacsian – Diamond Jubilee Number, op. cit., hlm. Message.
34) Ibid, hlm. 16.
35) Profail Sekolah Menengah Methodist (A.C.S), Kampar, op. cit.
36) The Kacsian, Volume 36, op. cit., hlm. 62.
37) Ibid, hlm. 60.
38) Ibid, hlm. 64.
39) Profail Sekolah Menengah Methodist (A.C.S), Kampar, op. cit.
40) Ibid.
41) The Kacsian, Volume 38, Sek. Men. Methodist (A.C.S), Kampar, Ipoh, Rajan & Co. Printers Sdn. Bhd., 1980, hlm. 5 – 30.


BAHAN-BAHAN RUJUKAN :

a) Sejarah Sekolah-Sekolah Negeri P. Pinang, Jawatan Kuasa Sejarah Sekolah-Sekolah Negeri P. Pinang, George Town Printers Sdn. Bhd., Pulau Pinang, 1976.
b) E.C. Hicks, History Of English Schools In Perak, The Perak Library, Ipoh, 1958.
c) W. Linehan, Annual Report On Education In The Straits Settlements And The Federated Malay States For The Year 1938, The Goverment Printing Office, Singapore, 1939
d) Hakim Dato’ Abdul Aziz, Laporan Surohanjaya Di-Raja Mengenai Perkhidmatan Guru-Guru Malaysia Barat, Jabatan Chetak Kerajaan, Kuala Lumpur, 1968.
e) Profail Sekolah Menengah Methodist (A.C.S), Kampar, Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, 1993.
f) The Kacsian, Volume 14, Anglo-Chinese School, Regina Press Ltd., Ipoh, 1956.
g) The Kacsian, Volume 18, Anglo-Chinese School, Rajan & Co., Ipoh, 1960.
h) The Kacsian, Volume 20, Anglo-Chinese School, Rajan & Co., Ipoh, 1962.
i) The Kacsian – Diamond Jubilee Number, Volume 21, Anglo-Chinese Secondary School, Kampar, Rajan & Co., Ipoh, 1963.
j) The Kacsian – Special Kampar Issue, Volume 22, Anglo-Chinese Secondary School, Kampar, Rajan & Co., Ipoh, 1964.
k) The Kacsian, Volume 36, Sekolah Menengah Methodist (A.C.S), Kampar, Rajan & Co., Ipoh, 1978.
l) The Kacsian, Volume 38, Sekolah Menengah Methodist (A.C.S), Kampar, Rajan & Co., Ipoh 1980.
m) Ho Seng Ong, Methodist Schools In Malaysia, Board Of Education Of The Malaya Annual Conference, Methodist Education Centre, Petaling Jaya, 1964.
n) Kacsian, Jilid Ke - 56, Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS), Kampar,
2001.
o) The Kacsian, Volume 11, Golden Jubilee Number, Anglo-Chinese School Kampar, 1953.
p) The Kacsian, Volume 6, Anglo-Chinese School Kampar, 1948.




GROWTH AND DEVELOPMENT AT A GLANCE

YEAR SCHOOL HEADS ENROLMENT

1903 Mr. Ling Ching Mi 45

1904 Mr. Phong Ah Sang 70

1905 - 1907 Mr. Phang Ah Nam 70

1908 - 1909 Mr. Kwan Tien Poh 80

1910 - 1912 Mr. Yew Choy Seng 90

1913 - 1914 Mr. Lim Eng Chuan 95

1915 - 1917 Rev. Paul Ponniah 112

1918 - 1919 Mr. V. John 110

1919 - 1920 Rev. C. J. Hall 178

1920 - 1933 Mr. T. K. Cheong 247 (1922)

1933 - 1939 Mr. Yong Ngim Djin 354

1939 - 1941 Rev. D. P. Coole 380

1941 - 1945 --- World War II ---

1945 - 1946 Mr. Wong Hean Kim 411

1947 - 1954 Mr. V. D. Kuppusamy 463

1955 - 1957 Mr. A. T. Ponniah 1079

SINCE NEW SET UP 1958 : ( ACS Kampar became two separate entities )

YEAR SECONDARY HEAD ENROLMENT PRIMARY HEAD ENROLMENT

1958 Mr. A. T. Ponniah 506 Mr. Fang Ung Ming 891
1959 - do - 542 - do - 918
1960 Mr. Tai Swee Kee 658 - do - 984
1961 - do - 846 - do - 1016
1962 Mr. Gong Ngie Kong 1047 - do - 1101
1963 - do - 1239 - do - 1167
1972 - do - 2085
1979 Mr. Low Mui Chuan 2101
1992 Mr. K. Rajalingam 2053 ( 1993 )
2000 Mr. Ng Sweet Kin 1457
2008 Mr. Lai Mann Kheong 736

Artikel ini ditulis oleh En. Chang Hon Woon, seorang guru Sejarah, untuk diterbitkan dalam majalah sekolah sempena ulang tahun ke-100 pada tahun 2003.

No comments:

Post a Comment